Wednesday, March 06, 2024

HARGA BUFFET RAMADHAN

SUDAH pasti mereka yang menjamu selera sambil berbuka puasa menerusi hidangan buffet adalah dalam rangka beramal kerana harga yang perlu dibayar adalah makanan 2 hari bagi 4 orang dewasa golongan B40 jika masak sendiri.

Nampaknya sempena bulan puasa nanti ramai pelanggan mengambil peluang berbuka puasa sambil beramal.

Jika mereka yang datang menjamu selera tiada maksud beramal kerana merasakan memang harga sedemikian berpatutan, maka ianya mencerminkan telah berlaku perubahan yang amat ketara terhadap pendapatan rakyat. Maknanya golongan yang mendapati bahawa harga berbuka puasa itu sangat mahal, adalah mereka yang tercicir mendapatkan perubahan pendapatan.

Rupanya, tidak ramai rakyat terkesan dengan kenaikan harga barang, kerana memang telah berlaku peningkatan pendapatan selari dengan peningkatan harga.

Peningkatan harga hanya memberi kesan pada sebahagian kecil rakyat, sebab itu suara yang terkesan tenggelam.

Kerajaan tidak akan berani menaikan kadar cukai, menarik subsidi daripada sebahagian rakyat, sedangkan tindakan itu boleh menyebabkan kenaikan harga, jika kerajaan tidak mempunyai data lengkap berkaitan kemampuan rakyat.

Atas sebab data berkenaan rakyat kerajaan mendapati hanya sebahagian kecil rakyat terkesan dengan kenaikan harga (barang dan perkhidmatan), maka ianya boleh ditangani menerusi subsidi bersasar dan “cash transfer”.

Berpandukan pada pakej Buffet Ramadhan, tidak mungkin premis penyedia pakej tersebut meletakan harga di mata golongan B40 sebagai harga kayangan, jika seandainya tidak ramai pelanggan berkemampuan. Harga kayangan adalah cerminan bahawa ramai rakyat yang berkemampuan.

Rupanya, keluhan neitzen menerusi media atas talian berkaitan kos sara hidup kesan kenaikan barang dan penyusutan nilai ringgit hanya gimik semata-mata atas sebab keadaan tidak seteruk mana berbanding fakta di lapangan.

Mana-mana kerajaan pasti merasa bimbang jika sebahagian rakyat merasakan keperitan menjalani kehidupan harian, kerana ianya boleh menyebabkan kerajaan ditolak rakyat. Memandangkan hanya minoriti rakyat terkesan dengan kos sara hidup, dan golongan ini menjadi golongan sasar kerajaan seperti mana program kerajaan seperti jualan rahmah dan sebagainya, maka kerajaan tidak berhadapan penolakan daripada rakyat kerana isu kos sara hidup. Benar kah demikian? Tepuk dada tanya selera.

Thursday, February 29, 2024

WAKIL RAKYAT- USIA BUKAN PENGHALANG

SELAGI seseorang pemimpin bersedia menggalas tugas sebagai wakil rakyat dan rakyat di kawasan yang diwakili terus memberi mandat, dan pada masa sama memperkuat parti dan kerajaan yang disokong, usia bukan lah penghalang.

Dalam sistem demokrasi negara, setiap 5 tahun wakil-wakil rakyat atau kerajaan yang disokong mereka akan diadili oleh rakyat, ertinya setiap penggal rakyat menjadi pengadil apakah kepimpinan seseorang wakil rakyat perlu diteruskan atau sebaliknya.

Kekalnya wakil rakyat berpenggal-penggal bukan bermakna tiada pelapis, tetapi mereka itu tidak bersedia maju ke hadapan memandangkan taraf mereka belum setanding dengan sifu mereka, iaitu penyandang.

Ada juga wakil rakyat yang menyandang berpenggal-penggal pada sesebuah kawasan akan tetapi akhirnya ditolak oleh rakyat di kawasan yang sama. Penolakan rakyat pada wakil rakyat itu, bukan kerana faktor tidak memberi peluang pada pelapis, akan tetapi faktor perubahan kepimpinan apabila menjauhi atau membuang jauh sifat di mana bermula sebaliknya hanya mengutamakan “inner circle” pemimpin itu.

Pemimpin yang ditolak rakyat itu mencipta sendiri sempadan atau tembok pemisah dengan rakyat yang mendukung/menyokong sebaliknya terbuai dengan sokongan disekililing.

Selain itu perubahan ketara pada wakil rakyat itu terutama daripada segi gaya hidup dan pembawaan, berbeza dengan sebelum itu, dan kerana faktor itu maka menyebabkan rakyat di kawasan yang diwakili muak, dan tragisnya faktor perubahan itu memberi kesan pada parti dan kerajaan yang menyebabkan kawasan lain juga turut ditolak rakyat.

Tidak sedikit wakil rakyat/pemimpin di hujung-hujung kepimpinan sepatutnya kekal menjadi jangkar pada parti dan kerajaan akan tetapi berlaku sebaliknya.

Para pemimpin atau wakil rakyat yang sentiasa mengekalkan keadaan di mana bermula dan berterusan dengan pendekatan yang sama maka terus mendapat sokongan rakyat selagi bersedia menjadi wakil rakyat.

Bukan sedikit wakil-wakil rakyat berkedudukan demikian, sebab itu, selagi mereka bersedia dicalonkan, maka adalah pasti kawasan yang ditandingi boleh menjadi kerusi.

Pada parti yang menerajui kerajaan Sabah hari ini, memandangkan hanya berusia 3 tahun dan sebahagian wakil rakyat adalah kali pertama, maka, terletak ditangan mereka apa kah sokongan yang diperolehi 3 tahun lalu dapat berulang pada PRN17, jika mereka itu dicalonkan.

Berkaitan wakil-wakil rakyat yang sudah berpenggal-penggal yang mewakili parti kerajaan, tiada kebimbangan mengenainya, kerana selagi mereka itu bersedia memimpin selagi itu rakyat di kawasan masing-masing akan menyokong.

Keterikatan antara wakil rakyat dengan rakyat yang menyokong bergantung rapat dengan tindak tanduk wakil rakyat itu, atas sebab itu, sekalipun wakil rakyat itu mewakili parti lain, waima sebagai pembangkang, rakyat di kawasan yang diwakili kekal memberi sokongan.

Atas faktor itu, jika ada pemimpin yang mewakili parti kerajaan akan tetapi pernah ditolak dan berhasrat untuk kembali kena berfikir masak-masak, kerana tidak semudah itu rakyat yang pernah menolak kembali menyokong.

Penolakan rakyat pada seseorang pemimpin, bukan kerana usia akan tetapi lebih kepada faktor perubahan sifat kepimpinan.

Jika ada pengamat atau penganalisis politik menjadikan faktor usia seseorang pemimpin sebagai penghalang sokongan rakyat ianya tidak tepat, kerana rakyat mengadili kebertanggungjawaban dan pembelaan daripada seseorang wakil rakyat. Fikir-Fikirkan.

Tuesday, February 27, 2024

KERAJAAN PERLU HENTIKAN KERISUAN RAKYAT

MUNGKIN di mata kerajaan tidak ramai rakyat risau berkaitan keadaan ekonomi negara dan beranggapan semuanya dalam kawalan.

Mereka yang membangkitkan berkaitan ekonomi, kemudian dikaitkan dengan kos sara hidup, dikategorikan sebagai “haters” atau pembangkang maka tidak dianggap mewakili rakyat.

Sebab itu ada pemimpin penyokong kerajaan mempersalahkan pembangkang berkaitan penyusutan nilai ringgit, kerana angkara pembangkang, pelabur asing hilang keyakinan terhadap negara dan negara asing tidak melanggan produk negara.

Selepas sahaja dakwaan pemimpin itu, Perdana Menteri mengumumkan jumlah pelaburan yang diluluskan terbesar dalam sejarah negara iaitu RM329.5 bilion pada tahun lalu, kadar KDNK 3.7%, kadar inflasi 1.5%, dengan sendirinya membawa erti dakwaan pemimpin penyokong kerajaan itu (daripada Sabah yang terkenal dengan pemimpin pembodek) adalah tidak benar, kerana nilai ringgit tetap menyusut walaupun pelaburan masuk tinggi.

Penyusutan nilai ringgit nampaknya tidak kena mengena dengan pelaburan, inflasi atau KDNK, akan tetapi atas faktor permintaan dan penawaran. Permintaan terhadap ringgit lemah di luar negara, kerana permintaan tertumpu dalam negara, kerana kedudukan ekonomi negara yang bergantung pada “domestic consumption’.

Apabila ekonomi negara bergantung pada “domestic consumption” jelas tidak mendokong nilai mata wang sesebuah negara. Kerana faktor ini, maka nilai ringgit terus menyusut berbanding mata wang asing terutama USD, sejak tahun 80-an lagi.

Apabila perekonomian negara bergerak berorentasi export, dibantu dengan kedatangan pelancong asing, pelaburan asing, dan diimbangi dengan penurunan import maka dengan sendirinya nilai ringgit akan mengukuh. Ertinya, nilai ringgit bergantung pada kitaran ekonomi, bukan sentimen politik, walaupun kesannya tidak dinafikan, terutama apabila tiada kestabilan politik atau dalam keadaan perang.

Apa yang perlu dibuat kerajaan pada masa sekarang adalah memberi penjelasan kepada rakyat kesan tindakan kerajaan dalam jangka panjang, bahawa kehidupan rakyat akan lebih baik, kerana menerusi tindakan kerajaan hari ini, ibarat berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.

Seperti mana tindakan Thailand dan Korea Selatan semasa krisis mata wang asia pada tahun 1998, dua negara itu menggunakan pendekatan merasakan pahit dahulu, manakala Malaysia tidak, dengan menambatkan nilai ringgit terhadap USD, kesannya hanya pada masa ini dirasai rakyat negara ini, seolah-olah teori ekonomi berkaitan faktor-faktor yang mempengaruhi naik turun nilai mata wang tidak tergunapakai.

Pendapat penulis, kejatuhan nilai ringgit tidak berkaitan sepenuhnya dengan pemimpin dan politik akan tetapi sebahagian besar bergantung pada fundamental perekonomian negara.

Sunday, February 25, 2024

NILAI RINGGIT DAN KOS SARA HIDUP

RAKYAT tidak dapat berbuat apa-apa apabila kerajaan gagal mengawal kejatuhan nilai ringgit dan’kenaikan kos sara hidup.

Dengan pendapatan mendatar, rakyat terpaksa menggunakan sebahagian besar pendapatan untuk keperluan makan-minum.

Mereka yang mempunyai komitmen ansuran rumah, kereta, insuran, dan mungkin bayaran PTPTN atau bayaran pinjaman pengajian terpaksa mengurangkan quntiti untuk makan minum.

Dalam keadaan sekarang mengawal harga beras tidak banyak membantu, kerana harga menu untuk makanan atas meja naik berkali ganda.

Apa yang dilakukan agar rakyat tidak resah, kerajaan melakukan pendekatan psikologi melalui berbagai pengumuman bahawa sedang dan akan dilaksanakan itu ini, termasuk pelaburan asing diluluskan mencapai rekod tersendiri.

Akan tetapi semua itu dalam jangka pendek tidak memberi kesan apa-apa, harga barang yang telah naik tidak turun, demikian juga kos sara hidup tidak turun.

Tidak dapat diramal sejauh mana rakyat dapat bertahan mengharungi keadaan luarbiasa ini kerana peningkatan harga yang begitu cepat meliputi semua jenis barangan.

Dalam keadaan yang berlaku sekarang, mengubah kerajaan, tidak membawa kepada penyelesaian, seperti mana anggapan sebelum ini termasuk daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri semasa pembangkang bahawa menurut beliau (Mac 2022), bahawa penurunan nilai ringgit RM4.30/USD, daripada RM3.80/USD, kerana masyarakat antarabangsa hilang keyakinan terhadap kepimpinan negara dan ianya masih berterusan kerana nilai ringgit terkini RM4.80/USD.

Apabila keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap kepimpinan negara kekal buruk maka mengharapkan pemulihan nilai ringgit tidak akan dapat dicapai dalam masa terdekat, melainkan perlu masa yang tidak pasti, atau apabila negara dipimpin oleh mereka yang mendapat keyakinan antarabangsa.

Terpulang kepada rakyat negara ini mencari pemimpin yang diyakini masyarakat antarabangsa, kerana berasaskan hipotesia Datuk Seri Anwar- Nilai Ringgit menjunam kerana masyarakat antarabangsa hilang keyakinan pada pemimpin negara.

Monday, February 19, 2024

PENGAJARAN KEMENANGAN PRABOWO

KEMENANGAN General (Purn) Prabowo Subianto sebagai Presiden ke-8 Indonesia pada kali-3 percubaan, kerana hanya satu faktor, iaitu PERUBAHAN IMEJ, daripada imej tegas kepada imej easy going.

Menerusi perubahan itu, generasi muda atau pengundi baharu tertarik lalu hampir memonopoli pengundi golongan itu.

Mengubah imej bukan bermakna mengubah asas perjuangan, tetapi imej sesuai dengan keperluan semasa agar perjuangan kekal relevan.

Prabowo 72 tahun boleh mengubah imej yang bersesuaian dengan keadaan semasa membawa kemenangan satu pusingan, apabila mendapat undi lebih separuh daripada rakyat yang mengundi.

Imej seseorang pemimpin boleh menjadi liabiliti walaupun perjuangan pemimpin itu mewakili aspirasi rakyat, kerana sifat manusia itu tidak akan terlepas daripada like &dislike.

Apabila perjuangan dalam kategori like dan imej juga berkategori sama, maka kesannya adalah kemenangan sepertimana dirasai Prabowo.

Penulis suka menghighlight berkaitan mengubah imej kerana ianya satu pengajaran pada kemenangan Prabowo.

Selain itu ianya ada kaitan dengan satu hantaran pemimpin muda Gagasan Rakyat yang mempunyai tugas penting di bawah Jabatan Ketua Menteri yang mana hantaran itu berbentuk sindiran yang amat dalam, dan penulis yakin sindirian itu ditujukan pada pemimpin yang berimej ketinggalan zaman dan tidak sesuai dengan keadaan semasa.

Penulis melakar-lakar, Imej yang bagaimana tidak sesuai lagi dengan citrarasa semasa, akhirnya penulis terjemahkan bahawa imej yang dimaksudkan adalah pemimpin kategori “Bossy”, serbatahu, selain memandang enteng pandangan mereka yang lebih muda.

Betul sesetengah pemimpin kategori demikian masih bernilai, tetapi nilai mereka daripada segi demokrasi rendah atas sebab itu jika dihubungkan dengan demokrasi , kedudukan mereka tidak menyumbang kepada bilangan atau nombor.

Satu faktor lagi yang melekat pada sesetengah pemimpin, adalah perbuatan tidak responsif atau lari daripada masalah. Mereka cuba menjauhkan diri daripada masalah, berbanding menyelesai. Sesetengah mereka hanya mahu menerima berita gembira, menutup mendengar sebarang rungutan.

Dalam era ini, pendekatan, imej seseorang pemimpin mudah dipantau, dengan cepat sampai pada seramai mungkin rakyat.

Apabila imej seseorang itu positif/disukai (like) dengan cepat diketahui, dan kategori pemimpin sedemikian mempimpin sesebuah parti, maka parti itu turut sama disukai (like).

Demikian juga jika pendekatan, imej seseorang pemimpin dalam kategori tidak digemari (dislike) akan juga cepat menyebar, apabila pemimpin itu merupakan pemimpin parti politik, maka parti yang dipimpin juga mendapat “dislike”.

Apabila pemimpin terlekat dengan imej “dislike” apapun kedudukan atau status pemimpin itu dalam parti, tidak tembus di mata rakyat apabila dicalonkan dalam pilihan raya, malah parti yang dipimpin ikut sama menerima kesan ditolak.

Pengalaman General (Purn) Prabowo bertanding Presiden Indonesia sebanyak tiga kali, adalah satu pengajaran penting pada pemimpin, apabila imej diubah sesuai dengan citarasa rakyat, sangat berbaloi dan boleh menghasilkan kemenangan.

Friday, February 09, 2024

KEPUTUSAN PETISYEN RUU DUN PEMBUKA MATA

KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan berkaitan 16 RUU yang diluluskan DUN Kelantan (RUU Syariah) terbatal kerana tidak menepati Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun keputusan Mahkamah Persekutuan tidak sebulat suara melainkan 8-1, akan tetapi yang menolak petisyen itu hanya mempersoalkan locus standi pemetisyen.

Dengan adanya keputusan itu, maka menjadi iktibar pada mana-mana negeri semasa menggubal RUU perlu menepati kandungan Perlembagaan Persekutuan.

Mana-mana pihak sebelum ini yang kurang bersetuju dengan mana-mana undang-undang dalam negara, menggubal RUU lalu diluluskan oleh DUN masing-masing, mendapat perkenaan Sultan/Raja atau TYT bagi negeri-negeri tidak beraja dianggap bahawa undang-undang itu terpakai di negeri berkenaan. Namun dengan adanya keputusan Mahkamah Persekutuan, maka dengan sendirinya mana-mana RUU di peringkat negeri tidak menepati Perlembagaan Persekutuan boleh dicabar.

RUU di peringkat negeri masih boleh berkuatkuasa, jika RUU itu turut sama diluluskan Parlimen, dan jika didapati tidak menepati Perlembagaan, maka Parlimen perlu mengubah Perlembagaan sesuai dengan maksud RUU itu.

Maknanya mana-mana RUU peringkat negeri, jika tidak diluluskan Parlimen apa tah lagi bercanggah dengan Perlembagaan bukan sahaja boleh dicabar akan tetapi terbatal.

Juga menerusi keputusan mahkamah Persekutuan itu menunjukkan hak-hak sebagai seorang warganegara adalah terjamin disisi Perlembagaan Persekutuan, maknanya, tidak timbul isu locus standi seperti sebelum ini digunakan sebagai hujah jika pemetisyen adalah rakyat biasa.

Banyak sangat petisyen berkaitan undang-undang atau pemerintahan yang dibuat sebelum ini akan tetapi ditolak mentah-mentah dengan menggunakan alasan keputusan bahawa pemetisyen tidak mempunyai locus standi.

Bermula hari ini, tiada sesiapa lagi boleh mempersenda hak-hak seseorang, kerana telah dibuktikan oleh Mahkamah Persekutuan terjamin dalam Perlembagaan Negara.

JAWATAN POLITIK MEMPERMUDAH URUSAN

HAKIKATNYA jawatan politik adalah jawatan memendekan urusan birokrasi.

Jika jawatan politik sama seperti jawatan awam yang bergantung skim perkhidmatan atau peraturan perkhidmatan, maka serahkan semua urusan pada penjawat awam.

Apa yang dilarang berkaitan jawatan politik, apabila tindakan/keputusan ada unsur pilih kasih, ada unsur kepentingan peribadi, sebaliknya jika kepentingan awam atau umum, maka ianya diperlukan, kerana dengan cara demikian, masalah dapat diselesaikan dalam masa segera.

Mereka yang berjawatan politik mempunyai tanggungjawab umum termasuklah pada rakan dan penyokong tidak berjawatan, kerana tanpa dokongan mereka itu, seseorang pemimpin yang berjawatan tidak akan mendapat jawatan itu.

Sesuatu jawatan terhad jumlahnya, kerana itu untuk suatu jawatan penting atau utama hanya seorang yang dilantik.

Mereka yang diberi peluang, perlu ingat, jawatan itu bukan jawatan sendirian berhad, apatah lagi menganggap jawatan yang diduduki atas merit/kapasiti peribadi.

Pemimpin politik terutama mereka yang berstatus wakil rakyat kena ingat, tanpa dokongan pemimpin lain atau pendokong tidak akan kemana, atas sebab itu, mereka yang menjadi punca wakil rakyat itu menjadi wakil rakyat kena mengiktiraf punca itu sebagai keluarga politik.

Demikian juga untuk tujuan pembentukan kerajaan, diperlukan sekumpulan wakil rakyat yang mana jumlah mereka lebih ramai berbanding kumpulan lain atau dalam istilah kerusi mempunyai jumlah majoriti mudah, untuk membolehkan membentuk kerajaan.

Apa ertinya keadaan ini? setiap wakil rakyat memerlukan sokongan satu sama lain secara kolektif, atau dengan kata lain, wakil rakyat kuat di kawasan sendiri, akan tetapi kawan di kawasan lain lemah dan gagal menterjemahkan sebagai kerusi, maka tiada makna menang 100 peratus undi di kawasan sendiri, akan tetapi tidak menjadi kerajaan.

Atas sebab itu, mana-mana wakil rakyat diberi tanggungjawab jawatan politik mempunyai tanggungjawab moral terhadap wakil rakyat separti yang hanya “backbencer” termasuk bertanggungjawab dengan pendokong/penyokong di kawasan-kawasan yang diwakili “backbencer” tersebut.

Hakikat yang perlu dihadam, mereka yang dilantik ke jawatan politik mewakili pemimpin separti dan penyokong untuk mempermudah membantu/membela mereka yang tidak berpeluang termasuk rakyat secara umum tanpa melihat fahaman politik.

Apa yang menyebabkan pemimpin politik berjawatan membawa sama parti yang mereka wakili ditolak rakyat, kerana berpunca daripada pemimpin dan penyokong yang mereka lupa, atas sebab itu, apabila tiba pilihan raya, mereka yang dilupakan itu menghukum parti.

Penulis yakin, semua pemimpin sedar akan keadaan ini, kerana di Sabah bukan sekali parti yang menerajui kerajaan berganti.

Kadangkala tidak dapat diterima kekalahan sesebuah parti kerajaan apabila menghadapi pilihan lengkap dengan trek rekod, berbanding parti lawan yang hanya berbekalkan air liur, malah punca kekalahan itu adalah pemimpin berjawatan atau berkedudukan gagal mempertahankan kerusi.

PRU14 menyaksikan bukan sedikit pemimpin berkedudukan kalah, dan yang menyedihkan kalah pada calon yang tidak bernama.

Jangan berulang, Ketua Menteri, Timbalan Ketua Menteri, Menteri kalah dalam pilihan raya.

Atas asas apa penulis membangkitkan isu berkaitan pemimpin politik yang berjawatan? kerana melihat perbuatan itu berlaku pada segelintir pemimpin yang berubah dengan drastik sekali berbanding sebelum mendapat kedudukan.

Perbuatan mereka itu boleh mengundang padah, kerana kesan seekor kerbau membawa lumpur semua terpalit.

Sebelum terlambat, mengingat PRN17 berbaki satu setengah tahun lagi, mereka yang terkait itu kena berubah, kembali pada garis di mana bermula, kerana pada titik itu lah punca jawatan diperolehi. Fikir-Fikirkan.

Sunday, January 28, 2024

APA KAH FUNGSI SEBENAR GLC DAN GLIC BERUBAH?

APABILA penulis terbaca berkaitan “downsizing” melibatkan GLC dan GLIC terus terlintas di fikiran apa kah fungsi atau matlamat penubuhannya sudah berubah?.

Penubuhan GLC dan GLIC lebih daripada perniagaan, ianya adalah sebahagian daripada matlamat penyusunan semula masyarakat dan pengagihan kekayaan.

Bukan sedikit mereka yang dilantik ke jawatan-jawatan tertentu, termasuk lantikan politik, kerana memang tujuannya antara lain adalah demikian, tetapi pada masa sama juga syarikat-syarikat itu dituntut beroperasi menguntungkan.

Penubuhan GLC dan GLIC, selain mempunyai dua matlamatnya, juga dituntut membayar dividen pada pemodal, yakni kerajaan. Tujuan dividen selain untuk diagihan semula samada dalam bentuk biasiswa, keagamaan, juga membiayai pembangunan.

Tanpa GLC dan GLIC kerajaan tidak dapat menampung pencari kerja yang semakin bertambah dari tahun ke tahun. Syogianya pertambahan pencari kerja sebahagiannya dapat ditampung, dan sebahagian oleh pihak swasta dan kerajaan sendiri.

Apabila GLC dan GLIC yang diharapkan dapat menampung pertambahan pencari kerja, sebaliknya bertindak downsizing, yakni mengurangkan tenaga kerja, maka dengan sendirinya matlamat penubuhannya tidak bersesuaian lagi (istiliah tidak relevan sangat drastik dan boombastik).

Jika berlaku downsizing, jika berpandukan pada diagnostik korporat, samada tunjang bisnes tidak lagi berdaya maju atau kelemahan pengurusan. Jika dua isu timbul, untuk melonjakan sesebuah syarikat itu, maka tunjang bisnes (core business) boleh diubahsuai mengikut persekitaran semasa, jika membabitkan pengurusan, maka lantik mereka yang berkebolehan dan berkemampuan. Kata orang, jika pengurusan “peanut” maka hasilnya juga “peanut”.

Mengurangkan GLC dan GLIC sewajarnya jangan dijadikan pendekatan akan tetapi sebaliknya. Menerusi kewujudannya maka modal insan berdayaguna, untuk memajukan dan membangun negeri/negara dan seterusnya memberi manfaat pada rakyat.

GLC dan GLIC adalah salah satu pendokong kerajaan dalam sektor perniagaan, kerana sifat kerajaan yang tidak menjalankan perniagaan. Selain itu sebagai penampang pada sumber pendapatan kerajaan, jika berdaya maju.

Hasil kerajaan selain daripada percukaian juga daripada dividen atau faedah atau jualan aset jika terpaksa.

Oleh kerana GLC dan GLIC sebagai alat kerajaan untuk tujuan penyusuan semula masyarakat dan pengagihan kekayaan, maka mereka yang dipertanggungjawabkan khususnya pengurusan perlu berkerjakuat untuk melaksanakan tanggungjawab itu. Mereka perlu membuang jauh-jauh zon selesa atau melepaskan batuk di tangga, sebaliknya sentiasa progresif, proaktif dan ke hadapan.

Sepatutnya mereka merasa malu, syarikat yang mereka urus beroperasi rugi, malah mendapat teguran daripada pemodal.

Tidak salah jika kerajaan melantik pemimpin politik menerajui syarikat-syarikat berkaitan GLC dan GLIC, akan tetapi terletak pada bahu yang dilantik untuk tidak menghampakan yang melantik, dan tunjukkan kebolehan kalau boleh kebolehan di luar kotak.

Jika GLC dan GLIC maju dan berkembang, maka ramai pencari kerja dapat ditampung, dan dengan sendirinya mengurangkan pengangguran. Fikir-Fikirkan.

CALON CUKUP PAKEJ TETAPI RAKYAT TOLAK

MAKSUD cukup pakej, berpengalaman, pernah menduduki berbagai jawatan politik, pemimpin parti, ada kekuatan kewangan, dikenali, disukai (walaupun oleh pembodek) akan tetapi apabila bertanding dalam pilihan raya rakyat tolak.

Di atas kertas parti mencalonkan seseorang menjadi calon berkategori cukup pakej kerana menurut hemat parti calon sedemikian adalah calon boleh menang “winnable candidate”.

Dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mungkin sesama pemimpin kurang menyedari adanya pemimpin cukup pakej apabila dicalonkan kelak menjadi liabiliti kepada parti kerana gagal menyumbang kerusi.

Mengapa calon cukup pakej ditolak rakyat? Salah satu sebabnya kerana pemimpin itu berada dalam dunianya sendiri, manakala rakyat di dunia lain.

Kerana berada di dunianya sendiri, maka tidak dapat mengukur sejauh mana penerimaan rakyat atau pengundi yang terbahagi pada berbagai lapisan.

Apa yang mendukacitakan kehadiran pemimpin dalam kategori yang dimaksudkan boleh memberi impak negatif secara umum pada parti dan pucuk pimpinan parti. Atau dengan maksud lain kerana seekor kerbau membawa lumpur semua terpalit.

Di Sabah bukan perkara luarbiasa, seseorang calon ada jawatan politik atau parti akan tetapi ditolak rakyat dalam pilihan raya.

Mengimbau PRU14 samada di peringkat DUN atau parlimen, ramai calon yang berkategori demikian ditolak rakyat. Demikian juga pada PRN16 atau PRU15, ada calon yang dianggap cukup pakej tetapi gagal menyumbang kerusi.

Semasa PRN17 nanti, diharapkan pucuk pimpinan GRS dapat meneliti dengan cermat berkaitan calon-calon yang bakal mewakili parti, dan cuba elakkan, calon cukup pakej akan tetapi di mata pengundi tidak.

Keinginan muncul semula sesetengah pemimpin parti yang ditolak rakyat di kawasan asal mereka, menutup peluang pemimpin lain yang berkebolehan, walaupun belum cukup pakej akan tetapi lebih menonjol sebagai calon boleh menang.

Muncul semula membawa pengertian mengakui kesilapan lalu dan berjanji untuk tidak mengulangi, sebab itu meminta peluang ke-dua. Setidak-tidaknya itulah alasan yang diberikan untuk dicalonkan semula.

Malangnya kesilapan lalu sesetengah pemimpin yang menyebabkan mereka ditolak sehingga parti banyak hilang kerusi, diulangi pemimpin lain yang diberi kedudukan. Jika kombinasi sedemikian berlaku pada sesebuah parti, maka di mata rakyat, parti itu mencalonkan calon-calon “cukup pakej” untuk ditolak. Sebelum rakyat melihat calon-calon “cukup pakej” untuk ditolak, maka pemilihan calon perlu teliti dan telus sesuai dengan permintaan akar umbi.

Cukup mudah melihat penanda aras, pakej apa yang patut ada pada seseorang calon, dengan mengambil contoh pemimpin yang sentiasa menang selagi dicalonkan. Di Sabah ramai pemimpin yang boleh dijadikan sebagai penanda aras.

Thursday, December 07, 2023

PROJEK HIDROELEKTRIK ULU PADAS: USAHA KERAJAAN TANGANI MASALAH ELEKTRIK DI SABAH: HAJIJI

TENOM: DALAM satu kenyataan yang dihibahkan Pejabat Media dan Komunikasi Jabatan Ketua Menteri pada Khamis memetik Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor bahawa Projek Hidroelektrik Ulu Padas diadakan Pecah Tanah hari ini bakal menjana tenaga elektrik sebanyak 187.5 megawatt (MW) sekali gus akan menyumbang secara signifikan kepada grid bekalan tenaga Sabah dengan penambahan sebanyak 15 peratus.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata projek ini bukan saja untuk mengatasi masalah bekalan elektrik di Sabah tetapi ia adalah antara usaha penyelesaian jangka panjang yang mampan kepada negeri ini.

Katanya, sebagai penyumbang utama kepada campuran tenaga boleh diperbaharui, empangan Hidroelektrik Ulu Padas dijangka boleh memenuhi peningkatan tenaga elektrik Sabah apabila siap nanti.

"Ini bukan sahaja akan dapat memenuhi peningkatan permintaan tenaga kita tetapi juga kritikal untuk Pembangunan Minyak dan Gas Sabah dan Taman Perindustrian Kota Kinabalu, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi dalam negeri kita.

"Selain itu, satu kajian juga sedang dijalankan agar empangan ini berpotensi untuk membekalkan aliran air bersih dan stabil kepada pengguna sehingga 6,000 juta liter sehari (JLH),” katanya sempena Majlis Pecah Tanah Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di Kampung Kungkular, dekat sini pada Khamis.

Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim menyempurnakan majlis pecah tanah projek berkenaan.

Hajiji berkata, projek Empangan Hidroelektrik Ulu Padas adalah perkembangan penting dalam pembangunan infrastruktur demi menjamin keterjaminan tenaga elektrik untuk penduduk Sabah.

"Ini juga merupakan satu langkah ke arah meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan kesediaan kita untuk memacu Sabah ke era kemajuan baru.

“Projek ini akan memberi kesan limpahan positif kepada ekonomi tempatan dari segi peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan rakyat dan keusahawanan,” katanya.

Menurutnya, dengan memanfaatkan potensi hidro negeri yang sedia ada, projek Hidroelektrik Ulu Padas dijangka dapat memacu perubahan dan menjadi pemangkin kepada transformasi yang luas kepada negeri Sabah.

“Sektor tenaga merupakan pemacu penting dan antara penyumbang terbesar kepada ekonomi Sabah sejak beberapa dekad yang lalu,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa komited untuk terus memperkasakan pengurusan sumber tenaga di Sabah dengan melancarkan Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) pada bulan September lalu.

Menurutnya, majlis pecah tanah projek itu merupakan tanda ikatan kerjasama strategik institusi awam dan swasta. Pihak pemaju projek, Upper Padas Power Sdn Bhd, adalah hasil dari ikatan kerjasama dengan kerajaan negeri melalui Sabah Energy Corporation Sdn Bhd dan sektor swasta iaitu Gamuda Berhad dan Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn Bhd.

"Kehadiran Perdana Menteri yang melakukan upacara pecah tanah Empangan Hidroelektrik Ulu Padas, jelas melambangkan sokongan Kerajaan Persekutuan terhadap negeri Sabah, dalam usaha membangunkan infrastruktur asas demi manfaat rakyat di negeri ini,” katanya.

Monday, December 04, 2023

DI SEBALIK MESEJ PRK KEMAMAN

DALAM konteks politik Sabah, walaupun informasi perkembangan politik di Semenanjung merentasi laut china selatan begitu pantas dan jelas akan tetapi kesannya lambat di negeri di bawah bayu itu.

Pada PRU13, Barisan Nasional (BN) kali pertama kehilangan sokongan 2/3 di Dewan Rakyat walaupun BN menang besar di Sabah.

Pada PRU14, apabila kesan perubahan politik di Semenanjung sampai ke Sabah maka BN tumbang kali pertama sejak kewujudan negara sebagai negara merdeka.

Pada PRU15, PRN2023 dan PRK Kemaman, adalah fenomena perubahan sokongan kaum melayu di Semenanjung.

Khasnya PRK Kemaman pada 2 Disember, majoriti calon parti yang menang meningkat daripada 27,179 ke 37,220 (10,041 bersamaan 37 peratus). Menerusi pertambahan itu, secara jelas sokongan pada calon yang menang meningkat luar biasa, sedangkan calon yang dikalahkan adalah calon Kerajaan Persekutuan.

Sebelum penamaan calon, Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri mengatakan, bahawa Parlimen Kemaman adalah kubu kuat Umno. Merujuk kenyataan Pengerusi Umno Terengganu, kemenangan calon PAS pada PRU15 kerana rasuah. Kerana isu itu, maka mahkamah membenarkan pemetesyen daripada Umno yang menyebabkan kekosongkan kerusi.

Pada PRK itu, isu rasuah tidak lagi menjadi alasan bagi Umno, kerana calon PAS semasa kempen mengelak sebarang elemen rasuah mempengaruhi pengundi. Keputusannya calon PAS bukan sahaja menang dengan majoriti yang bertambah, malah undi yang diperolehi calon Umno menurun dengan drastik berbanding PRU15 jika menurut calon yang kalah pada PRU itu, kekalahan kerana isu rasuah.

Mulai daripada sekarang, parti-parti daripada Sabah perlu mencongak akan kemungkinan bakal berlaku di Semenanjung pada PRU16. Pada masa sama perlu meneliti dengan dekat akan hala tuju pengundi, kerana pengundi Sabah telah membuktikan pada PRU14, dengan tindakan menjadi sebahagian penyebab BN tumbang.

Di Sabah, isu tuntutan hak-hak negeri dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah melekat pada sebahagian hati rakyat Sabah. Gagal menunaikannya boleh membawa malapetaka. Apa tah lagi, dalam kerajaan Persekutuan hari ini, terdapatnya pemimpin dan wakil rakyat yang menentang tuntutan 40 peratus hasil bersih kutipan hasil Persekutuan daripada Sabah dengan hujah jika Kerajaan Persekutuan memberikannya, maka Kerajaan Persekutuan menjadi muflis.

Parti-parti di Sabah mempunyai pilihan sendiri. Menerusi Sidang DUN Sabah pada 24-30 November lalu, rata-rata wakil-wakil rakyat (kecuali satu dua) mengangkat isu MA63, maknanya mereka telah merasakan denyut nadi rakyat Sabah berkaitan hak-hak Sabah dalam MA63.

Rata-rata pemimpin telah faham dan mengerti betapa pentingnya Sabah mengwujudkan satu kekuatan, kekuatan yang perlu diterjamahkan menerusi jumlah kerusi.

Hanya menerusi kekuatan sahaja boleh menjadi pemudahcara mengembalikan hak-hak Sabah dalam MA63. Apabila kekuatan menerusi jumlah kerusi, maka jumlah itu diperlukan oleh mana-mana parti di Semenanjung untuk menubuhkan kerajaan, maka mana-mana parti yang disokong mengerti, bahawa sokongan itu bersifat menang-menang.

Bagi mengwujudkan keadaan menang-menang, maka parti-parti di Sabah perlu memberi tahu rakyat Sabah, apapun perubahan yang berlaku di Semenajung bukan lah urusan rakyat negeri ini, melainkan rakyat negeri ini perlu menentukan hala tuju sendiri menerusi kekuatan yang diperlukan, bukan memerlukan. Kerana hanya menerusi diperlukan sahaja, untuk memastikan tuntutan dalam MA63 dapat direalisasikan secara tuntas.

Bertindak agar menjadi kekuatan yang diperlukan, maka rakyat Sabah perlu memberi mandat pada parti milik negeri, parti yang diurus oleh pemimpin sendiri, parti yang bersifat seperti rumah sendiri, dicatur, dijaga sendiri, tidak dipangaruhi oleh mana-mana pihak.

Rakyat Sabah perlu menerima hakikat, di Semenanjung, bakal berlaku perubahan besar pada PRU16, apabila kaum majoriti di sana, bakal memilih parti yang mereka sukai, iaitu Perikatan Nasional, khususnya Parti PAS.

Pemimpin Semenanjung dalam kerajaan sudah mula menerima hakikat bahawa kekuatan PAS di kawasan melayu sama dengan kekuatan DAP di kawasan kaum cina. Ertinya mereka mengakui, mana-mana parti selain PAS di kawasan kaum melayu, menyertai pilihan raya semata-mata untuk meraikan pesta demokasi seperti mana di PRK Kemaman.

Pun begitu rakyat Sabah tidak boleh mengikuti rentak sedemikian, kerana perlu mengambil iktibar sejarah 60 tahun, menjadi sebahagian yang menyokong telah merugikan rakyat Sabah. Rakyat Sabah perlu meletakkan diri menerusi parti yang diperlukan, bukan memerlukan.

Thursday, November 23, 2023

BAJET SABAH 2024: AKAN ADA KEJETUAN?

BAJET negeri bagi tahun 2024 akan dibentangkan pada Jumaat oleh Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun.

Selepas 20 tahun, Bajet kali ini dibentangkan oleh anggota kabinet bukan Ketua Menteri.

Apa Bajet kali ini akan ada kejutan berbanding Bajet sebelum ini?

Bajet 2023 yang berjumlah RM5.138 bilion adalah terbesar setakat ini. Bajet tersebut adalah bajet surplus berjumlah RM130.47 juta, apabila kutipan hasil dianggarkan berjumlah RM5.268 bilion. 

Adalah dijangka kutipan hasil akan  seperti tahun 2022 yang berjumlah RM6.96 bilion, memandangkan setakat 13 Oktober kutipan hasil bagi 2023 mencecah RM5.257 bilion (99.8 peratus).

Kelajuan kutipan hasil didorong oleh hasil penerokaan kerajaan negeri dalam pelbagai sektor khususnya dalam industri minyak dan gas.

Penulis menduga bahawa kejutan Bajet 2024 untuk kali pertama melepasi RM6bilion. Dugaan ini kerana didokong peningkatan kutipan hasil negeri sejak Kerajaan GRS mengambil alih tampuk pemerintahan tiga tahun lalu.

Pendekatan kerajaan GRS mudah. Kutipan hasil dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk pembangunan, misalnya menerusi peningkatan peruntukan pada setiap wakil rakyat, peruntukan untuk menambahbaik pulih kemudahan asas, inisiatif ekonomi dan sebagainya.

Semakin besar bajet, maka semakin banyak inisiatif untuk membantu dan membela rakyat sesuai dengan misi kerajaan, Makmur Negeri dan Keterjaminan Kesejahteraan rakyat.

Tuesday, November 21, 2023

BUNG MOKTAR GERUN KEHADIRAN GAGASAN RAKYAT

DATUK Bung Moktar Radin amat bimbang dengan kehadiran Gagasan Rakyat yang dipimpin Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, kerana parti komponen terbaharu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu akan menambah derita UMNO Sabah.

Umno Sabah telah kehilangan separuh daripada penyokong termasuk ahli, apabila Parti Warisan ditubuhkan pada tahun 2016.

Berasaskan perkembangan politik Sabah, Gagasan Rakyat, telah disertai separuh daripada ahli dan penyokong Umno Sabah, dan kini, parti itu hanya mempunyai ahli/penyokong 25 peratus.

Betul di atas kertas, Umno Sabah kekal dengan 560 ribu ahli, akan tetapi, kesan ahli berganda, hakikatnya parti itu telah ditinggalkan ramai ahli, seperti mana dibuktikan pada undi yang diterima parti itu pada PRU15.

Betul, Gagasan Rakyat belum membuktikan sokongan menerusi pilihan raya, akan tetapi keahlian parti yang mencecah 300,000 sebahagian besarnya mantan ahli Umno termasuk yang menyertai Parti Warisan, maka membuktikan, Gagasan Rakyat bukan sahaja alternatif pada Umno dan Warisan, akan tetapi menjadi platform perjuangan baharu.

Dasar Rumah Kita, Kita Jaga, dan SabahFirst, adalah tiga elemen serangkai yang menjadikan Gagasan Rakyat menjadi pilihan sebahagian besar penyokong Umno dan penyokong parti itu yang berhijarah ke Parti Warisan.

Politik Sabah, tidak terlepas dengan keahlian kitar semula, kerana itu lah asam garam politik Sabah, dan keadaan ini telah berlaku episod demi episod politik Sabah sejak merdeka.

Penulis tidak pelik, apabila ada pemimpin parti dalam Gabungan Rakyat Sabah, mendakwa, berlaku “rampasan” keahlian, satu istilah yang meremehkan tindakan mereka yang mempunyai keahlian lebih daripada satu parti. Seperti kata, Timbalan Presdien Gagasan Rakyat, Datuk Seri Haji Masidi Manjun, bahawa mereka itu adalah manusia berakal, dan tiada sesiapapun boleh merampas hak mereka atau memaksa mereka, melainkan atas kerelaan sendiri.

Demikian juga para ahli/penyokong Umno, samada yang telah menyertai Warisan sebelum ini, kini sebahagian besarnya telah memilih Gagasan Rakyat sebagai platform perjuangan baharu.

Melihat struktur kepimpinan Gagasan Rakyat baik di peringkat Pusat, Bahagian atau cawangan, mereka itu suatu masa dahulu ada lah pemimpin parti termasuk daripada Umno atau parti-parti lain yang masih kekal.

Gagasan Rakyat adalah plaform bagi mereka yang progresif dan dinamik, dan tentunya adalah gabungan berbagai latar belakang, termasuk mereka kali pertama mencebur diri dalam arena politik sama-sama berjuang berpaksikan pada misi RUMAH KITA DAN SABAHFIRST, untuk merealisasikan tiga teras perjuangan, Stabil Politik, Makmur Negeri dan Jaminan Kesejahteraan (SMJ).

Berpandukan pada teras perjuangan Gagasan Rakyat yang “tangible” tentunya rakyat memilih dan menyokongnya berbanding teras perjuangan Bung dan Shafie yang berbentuk khayalan.

Monday, November 20, 2023

SOKONG GRS-PELUANG UNTUK JAGA RUMAH SENDIRI

RAKYAT Sabah tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang patut berbangga jika menjadi sebahagian daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Gabungan parti politik yang mengadopsi pendekatan rumah kita, kita lah yang jaga, ada lah peluang tidak harus dilepaskan.

Kita sama-sama sedar masih ada pemimpin yang cuba menghalang rakyat Sabah mempunyai rumah sendiri menerusi berbagai helah, dakyah, kerana mereka itu tiada pilihan kerana keegoan, pendirian yang tidak konsisten, sehingga sukar diterima sebagai anggota pasukan, kerana keberadaan mereka, kesatuan yang terwujud menjadi porak peranda, kerana sifat gunting dalam lipatan, duri dalam daging, khianat, hanya kerana untuk mendapatkan kedudukan/status untuk kepentingan diri sendiri.

Atas sifat pemimpin sedemikian, maka rakyat jangan silau dengan hujah-hujah mereka yang berunsur fitnah, bohong, jika bukan, maka membuat janji bulan bintang.

Rakyat daripada segenap lapisan, perlu mengambil iktibar, sekian lama, kita semua tidak berpeluang mempunyai rumah sendiri, mengatur sendiri, melainkan menumpang rumah orang lain, walaupun di antara kita pernah diangkat sebagai ketua rumah, dan pada masa sama perlu tertakluk dan mengikut telunjuk pemilik rumah.

Setiap daripada kita perlu berbangga, kerana ada parti yang menjadikan SABAHFIRST sebagai perjuangan utama, ertinya apapun yang berlaku, keutamaan adalah Sabah. Ertinya, jika ada pihak cuba menganggu atau meremehkan Sabah dan rakyatnya, parti bersama pimpinannya mengisi barisan hadapan untuk mempertahankannya.

Untuk merealisasikan perjuangan ini, tentunya perlu sokongan segenap lapisan rakyat Sabah. Pada masa sama, kita semua perlu memberi kepercayaan pada pimpinan, sebagai kapten yang tiada duanya.

Gabungan Rakyat Sabah, yang mempunyai susunan kepimpinan yang sangat jelas, mengikut kebolehan, pengalaman, mencerminkan betapa selamatnya kita bersamanya. Mereka itu bagaikan batu karang di tengah lautan, tahan pukulan badai, tidak tergoyangkan.

Mereka itu adalah para pemimpin yang sentiasa ikut rasmi ubi, diam berisi, bukan rasmi tin kosong, nyaring sahaja bunyi tapi tidak ada apa-apa di dalamnya.

Benar mereka bukan tergolong pemimpin “minum darah” “Pakyu”, “Sabah kita punya” , tetapi mereka ada lah pemimpin yang “walk the talk”.

Bukti nyata walaupun memimpin negeri memasuki tiga tahun, tapi kesannya pada pemulihan ekonomi, kutipan hasil negeri, nilai perdagangan, kemasukan pelaburan, penyediaan peluang-peluang pekerjaan begitu luar biasa.

Hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) benar-benar berimpak, dan memastikan pembangunan Sabah di landasan betul. Pencapaian SMJ adalah bukti, apabila rumah kita, kita jaga, maka tentunya, kesannya luarbiasa.

Pada rakyat Sabah, jangan lagi terpengaruh dengan pemimpin yang cuba menjadi relevan menerusi parti-parti yang melawan GRS, kerana mereka itu tidak akan kemana-mana, kerana ketiadaan hala tuju yang jelas, melainkan membantu tuan mereka untuk kekal relevan dan mendapat sedikit kuasa. Fikir-Fikirkan.

Blog Archive